Kemajuan dan kepesatan aktiviti e perdagangan di Malaysia - Kemajuan dan kepesatan aktiviti e-perdagangan di Malaysia

Kemajuan dan kepesatan aktiviti e-perdagangan di Malaysia

Kegiatan e-perdagangan mendapat sambutan yang meluas di Malaysia. Negara ini adalah antara negara yang paling aktif dalam e-perdagangan di rantau Asia Tenggara. Pilihan platform yang pelbagai di Internet berserta jaminan penghantaran dan pengembalian menarik minat orang ramai untuk membeli secara e-perdagangan. Malah, terdapat pelbagai cara untuk membayar dalam talian selain daripada menggunakan kad kredit dan kad debit.

Perkembangan e-perdagangan terkini

Kemajuan dan kepesatan aktiviti e perdagangan di Malaysia 1 - Kemajuan dan kepesatan aktiviti e-perdagangan di Malaysia

Faktor geografi merupakan satu cabaran yang dihadapi pada masa lalu. Penghantaran untuk sesuatu barangan boleh mengambil masa yang lama, tambahan pula dengan caj yang mahal terutamanya ke Sabah dan Sarawak. Pengguna menjadi semakin cerewet dan menginginkan produk sampai ke rumah dengan secepat mungkin. Kini, penghantaran berlaku seawal dalam masa sehari ke mana-mana bahagian di seluruh Malaysia dengan caj yang lebih kompetitif dan percambahan syarikat penghantaran baru dalam industri ini.

Namun begitu, terdapat juga permasalahan dengan barangan yang tidak menepati keperluan pengguna. Sebagai contoh, saiz baju, warna yang berlainan daripada yang dipilih ataupun barangan yang mengalami kerosakan. Sebelum ini, agak sukar untuk mengembalikannya disebabkan tiadanya polisi pemulangan barang untuk pelanggan, namun kini, barangan boleh dikembalikan untuk penukaran hinggalah pelanggan berpuas hati.

Selain itu, capaian untuk e-perdagangan kini bukan hanya merangkumi kawasan bandar malahan kawasan luar bandar juga boleh memiliki barangan yang sama hasil daripada rangkaian Internet pantas dan meluas ke seluruh Malaysia. Manakala, penggunaan telefon pintar semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak dan juga warga emas membolehkan pembelian dibuat dengan mudah.

Terdapat juga produk baru yang dijual di pasaran bergantung kepada demografi pengguna. Sebagai contoh, warga emas kini mempunyai lebih pilihan untuk barangan seperti alatan bantuan berjalan, pembesar suara telinga dan sebagainya dengan harga yang lebih berpatutan. Tidak seperti dulu, barangan yang dicari hanya ada di satu kedai sahaja di kawasan tempatan dan selalunya dijual dengan harga yang mahal.

E-perdagangan menjadikan hidup lebih baik kerana pengguna mempunyai kuasa perbandingan harga, lebih banyak pilihan degan kualiti dan keselamatan pembelian lebih terjamin.

Scroll to top